TVET atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional adalah program pendidikan yang direka untuk melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal dan vokasional yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pelbagai industri dan pasaran kerja.

Program dan kursus TVET yang ditawarkan oleh institusi-institusi TVET awam dan swasta memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan teori dan amali, yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran praktikal yang relevan dengan kerjaya. TVET di Malaysia menyediakan modal insan yang kompeten dan membantu negara mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi.

Apa Senarai Kursus TVET di Malaysia?

Kursus TVET di Malaysia merangkumi pelbagai bidang kemahiran dan teknikal yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta seperti bidang kejuruteraan, automotif, teknologi, kulinari dan pengurusan pejabat. Antara kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang kejuruteraan seperti Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, dan Kejuruteraan Elektronik.

Bidang teknologi maklumat juga popular, termasuk Teknologi Komputer dan Rangkaian, Pengaturcaraan Perisian, dan Teknologi Maklumat Perniagaan. Selain itu, terdapat kursus dalam Perkhidmatan Pelancongan dan Perhotelan, Seni Kulinari, Pengurusan Acara, Pengurusan Pejabat, serta bidang Pembuatan dan Pengeluaran.

Institusi yang menawarkan kursus-kursus ini termasuk Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), dan pusat latihan kemahiran swasta seperti Berjaya TVET College dan Stradford International College. Beberapa kursus khusus lain yang turut ditawarkan adalah dalam Industri Automotif, Sistem Penyaman Udara, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, serta Teknologi Makanan.

Kursus-kursus ini disesuaikan dengan keperluan industri untuk memastikan pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan pasaran kerja semasa. Untuk senarai penuh, rujuk TVET Madani.

Apa Senarai Kursus TVET Politeknik?

Politeknik di Malaysia menawarkan pelbagai kursus TVET yang merangkumi bidang teknikal dan vokasional. Antara kursus yang ditawarkan di politeknik adalah:

  1. Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
  2. Kejuruteraan Mekanikal
  3. Teknologi Maklumat
  4. Pengurusan Perniagaan
  5. Teknologi Makanan
  6. Seni Kulinari
  7. Perakaunan
  8. Teknologi Automotif
  9. Teknologi Pembuatan
  10. Pengurusan Hartanah

Setiap kursus ini direka untuk memenuhi standard industri dan memberi pelajar kemahiran praktikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Apa Senarai Institusi TVET di Malaysia?

Kursus TVET di Malaysia ditawarkan oleh pelbagai institusi, merangkumi institusi awam dan swasta yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti. Antara senarai institusi TVET di Malaysia adalah seperti berikut:

1. Kolej Komuniti

Menyediakan pelbagai kursus dalam bidang teknologi maklumat, perniagaan, pengurusan, serta bidang teknikal dan vokasional yang lain.

2. Institut Latihan Perindustrian (ILP)

Menawarkan kursus kemahiran teknikal dalam bidang elektrik, mekanikal, pembuatan, dan penyelenggaraan.

3. Kolej Vokasional

Menyediakan kursus dari peringkat sijil sehingga diploma vokasional dalam bidang teknologi, kejuruteraan, perniagaan, dan perkhidmatan.

4. Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), dan MARA Japan Industrial Institute (MJII)

Menawarkan kursus kemahiran dalam bidang kejuruteraan, teknologi, serta teknousahawan. MARA turut menyediakan institusi seperti GIATMARA untuk latihan kemahiran jangka pendek dan teknikal yang lebih praktikal.

5. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

UniKL merupakan salah satu universiti utama dalam penyediaan kursus TVET di Malaysia dengan penekanan kepada latihan teknikal dan vokasional yang berteraskan teknologi tinggi dan kerjasama erat dengan industri.

6. Geomatika Skill Institute

Menawarkan kursus kemahiran dalam bidang Geomatik & Ukur Tanah, Lukisan Senibina, Keselamatan dan Kesihatan, serta Perkhidmatan Estetik di beberapa cawangan di seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur, Melaka, dan Sarawak.

7. MTTC (Matrix Trinity Technology & Creative)

Sebuah kolej yang menyediakan kursus profesional dalam bidang seperti BIM (Building Information Modeling), Reka Bentuk 3D, dan kursus berkaitan seni bina dan pembinaan.

8. Stradford International College

Menawarkan pelbagai kursus seperti Pengurusan Logistik, Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, serta kursus kemahiran berkaitan pengurusan pejabat dan teknologi maklumat.

    Institusi-institusi ini, bersama-sama dengan pelbagai politeknik dan kolej swasta lain, menyokong pembangunan modal insan yang berkemahiran dan berdaya saing, selaras dengan keperluan industri semasa di Malaysia.

    Di Mana Ada Kursus Kemahiran TVET Percuma?

    Kursus kemahiran TVET percuma boleh didapati di institusi-institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), dan Kolej Komuniti.

    Program ini sering dibiayai oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia serta melalui inisiatif seperti Program MySTEP dan Skills Upgrading Programme yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada di Malaysia.

    Di Mana Ada Kursus TVET Jangka Pendek?

    Kursus TVET jangka pendek boleh didapati di pelbagai institusi seperti berikut:

    1. Politeknik
    2. Kolej Komuniti
    3. Institut Latihan Perindustrian (ILP)
    4. Institut Kemahiran MARA (IKM)
    5. Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM)
    6. MARA Japan Industrial Institute (MJII)

    Berapa Lama Tempoh Pembelajaran Kurus TVET Jangka Pendek?

    Kursus-kursus ini biasanya ditawarkan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan dan memberi penekanan kepada kemahiran khusus seperti reka bentuk grafik, penyelenggaraan elektrik, seni kulinari, dan kejuruteraan asas mekanikal. Program jangka pendek ini sering disesuaikan dengan keperluan industri dan memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam masa yang singkat.

    Apa Kelebihan Kursus TVET Jangka Pendek?

    Kursus TVET jangka pendek mempunyai 4 kelebihan utama iaitu:

    1. Dapat meningkatkan kemahiran sedia ada kerana kursus ini membantu individu menambah atau mengukuhkan kemahiran baharu yang diperlukan dalam pekerjaan.
    2. Kos yang rendah kerana kursus jangka pendek biasanya lebih menjimatkan kos berbanding program diploma atau ijazah penuh.
    3. Dapat memberi peluang kerjaya yang lebih baik kerana pelajar yang menyertai kursus ini akan mempunyai kelebihan dalam mendapatkan pekerjaan kerana kemahiran praktikal yang diperolehi.
    4. Dapat dihadiri secara separuh masa atau hujung minggu. Ini membolehkan individu yang bekerja turut serta tanpa mengganggu jadual kerja mereka.

    Apa Syarat Kemasukan TVET?

    Syarat kemasukan untuk program TVET berbeza mengikut jenis institusi dan tahap kursus yang ditawarkan. Secara amnya, kelayakan asas yang diperlukan adalah:

    1. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang setaraf dengan sekurang-kurangnya tiga kredit dalam subjek berkaitan.
    2. Bagi kursus di peringkat sijil, lulusan PMR/PT3 dengan keputusan yang memuaskan juga boleh dipertimbangkan.
    3. Bagi kursus teknikal tertentu, calon perlu lulus ujian psikometrik atau temuduga yang ditetapkan oleh institusi berkenaan.

    Bagaimana Cara Buat Permohonan TVET?

    Permohonan untuk kursus TVET boleh dilakukan melalui beberapa platform rasmi kerajaan seperti UPUOnline, JPK dan permohonan terus.

    1. Portal UPUOnline (https://upu.mohe.gov.my) – Untuk permohonan ke politeknik dan kolej komuniti.
    2. Portal Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) – Bagi kursus di bawah agensi TVET seperti ILP dan ADTEC.
    3. Permohonan Terus – Bagi institusi seperti kolej komuniti, politeknik, atau pusat latihan kemahiran swasta.

    Pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, sijil akademik, dan dokumen lain yang diperlukan mengikut syarat permohonan institusi.


    My writing covers job-related topics, from boosting office productivity to salary negotiations. I have a keen interest in workplace dynamics and enjoy exploring and comparing job markets across various industries. My goal is to help both employers and job seekers make informed decisions in their professional journeys.

    Leave A Reply