Tidak kisah anda mahu interview kerja kerajaan atau swasta, intinya tetap sama. Yang berbeza mungkin cara penyampaian ataupun bahasa yang digunakan. Jadi, dalam artikel ini, izinkan kami berkongsi cara perkenalkan diri semasa temuduga untuk rujukan anda.
Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga
Kami bahagikan cara untuk kenalkan diri kepada tiga bahagian. Kalau mahu baca versi yang panjang, sila rujuk cara memperkenalkan diri semasa temuduga yang pernah ditulis sebelum ini.
#1 Sebelum temuduga
Semasa pertama kali memasuki bangunan tempat temuduga kerja anda, anda mungkin perlu mendaftar di bahagian penyambut tetamu. Kenalkan diri anda dengan nama penuh, masa temuduga dan nama jawatan yang anda akan temuduga. Ayat dibawah merupakan salah satu contoh untuk menjadikan ia lebih cepat dan sederhana.
“Hi, nama saya Farah. Saya datang untuk temuduga jawatan Pengurus pada pukul 12 tengahari.”
Selepas daftar, anda mungkin akan di minta untuk tunggu sebentar sementara wakil HR datang menemui anda. Elakkan penggunaan telefon semasa menunggu giliran anda.
Apabila seseorang sampai dan menegur anda, berdiri dan ikut langkah ini waktu perkenalkan diri:
- Memberikan senyuman sambil berjabat tangan
- Perkenalkan diri dengan nama penuh menggunakan suara yang yakin
- Jawab “gembira berjumpa dengan anda..” dan ulang nama mereka dengan suara yang lantang memudahkan anda lebih mengingati nama mereka ketika kali pertama mendengarnya.
Apabila anda sedang bercakap, senyum dan pandang ke arah mereka. Pada waktu ini mereka mungkin bawa anda ke bilik temuduga dan jika mereka hanya beritahu di mana bilik temuduga, pastikan anda mengucapkan terima kasih pada mereka.
#2 Semasa Temuduga
Ini adalah cara perkenalkan diri semasa temuduga yang paling kritikal sekali.
Pada waktu ini, anda akan di suruh tunggu di sebuah bilik sehingga giliran anda untuk temuduga tiba. Ini merupakan masa yang sesuai untuk anda keluarkan pen dan kertas untuk mengambil nota, minum air dan ambil masa untuk tenangkan fikiran dan badan anda. Apabila penemuduga anda masuk, berdiri dengan yakin dan perkenalkan diri anda sambil berjabat tangan dan senyum.
Penemuduga sudah pastinya tahu jawatan yang anda ingin mohon dan pastinya sudah melihat resume anda. Jadi tidak ada salahnya untuk anda masih sediakan keterangan pendek untuk memberitahu mereka siapa anda dan jawatan apa yang anda mohon.
Beri salinan resume
Selepas selesai perkenalkan diri, anda boleh berikan mereka salinan resume anda jika mereka tidak mempunyai salinan resume anda. Jika penemuduga anda sibuk, mereka akan terus tanya anda beberapa soalan mengenai jawatan anda mohon atau sebagainya. Anda hanya perlu biarkan mereka memulakannya sekiranya permulaan perbualan adalah daripada mereka.
Jangan takut untuk memulakannya jika mereka memberikan anda ruang untuk memulakannya. Mudahkan mereka hanya dengan memberi penerangan ringkas mengenai latar belakang anda dan minat anda terhadap jawatan yang di mohon.
Soalan temuduga paling popular
Soalan popular yang sering ditanya semasa temuduga ialah “Ceritakan sedikit tentang diri anda”. Mempunyai nota kecil membantu anda untuk menjawab dengan lebih mudah. Fokus pada latar belakang anda kenapa anda sesuai untuk kerja ini.
Sebaiknya buat persediaan awal akan membantu anda untuk lebih bertenang, jadi cari maklumat tentang syarikat yang anda akan pergi temuduga atau lebih bagus kalau anda boleh cari maklumat tentang penemuduga anda. Ini akan dapat membantu anda dalam perbualan juga dapat memberi persediaan untuk menjawab soalan dengan lebih bijak. Tunjukkan bahawa diri anda mempunyai pengetahuan dan yakin dalam menunjukkan bahawa anda sesuai untuk jawatan ini.
Tulis nota sebelum datang temuduga
Lebih bagus kalau anda tulis sedikit nota sewaktu perbualan diteruskan. Anda boleh gunakan nota ini untuk bertanya sebarang soalan pada akhir waktu temuduga. Ini menunjukkan bahawa anda tertarik dan hargai masa dengan mereka.
Penemuduga bukan sahaja mencari mereka yang layak untuk jawatan yang dimohon, tetapi juga mencari seseorang yang mahu bekerja dan seseorang yang sesuai untuk syarikat mereka. Sewaktu anda sedang menjawab soalan mereka dan menyediakan soalan untuk ditanyakan pada mereka, jangan lupa untuk tunjukkan personality diri anda dan yang paling penting jadilah diri anda sendiri.
Sentiasa ingat perbualan hendaklah dilakukan langkah demi langkah. Lebih baik kalau anda ambil masa untuk berfikir dan beritahu mereka untuk memberi anda sedikit ruang untuk berfikir sebelum menjawab. Ini merupakan salah satu cara memberikan pandangan positif pada penemuduga yang anda mengambil masa untuk menjawab soalan mereka dengan sebaik mungkin.
#3 Selepas Temuduga
Selepas selesai temuduga, anda sudah tidak perlu cara perkenalkan diri lagi. Namun, anda perlu ingat, selagi anda masih lagi belum melangkah keluar, sesi interview ini masih lagi belum berakhir.
Jangan lupa untuk berjabat tangan dan ucapkan terima kasih pada mereka dengan senyuman. Anda juga boleh mengakhirkan perbualan dengan ayat yang lebih positif seperti:
- “Gembira bertemu dengan tuan, saya sangat menghargai dengan masa yang diberikan untuk saya”
- “Terima kasih untuk perbualan yang menarik. Saya harap encik sentiasa sihat selalu.”
- “Saya berbesar hati dapat mendengar tentang jawatan ini, saya harap dapat bertemu lagi di masa akan datang.”
3 Tips Ringkas Temuduga Kerja
Cara perkenalkan diri ketika temuduga sahaja tidak cukup. Izinkan kami berkongsi beberapa tips temuduga kerja yang kami rasa sesuai untuk diaplikasikan.
Berpakaian yang sesuai ketika temuduga kerja
Anda perlu ambil berat tentang pakaian juga.
Pakaian yang sesuai memainkan peranan penting semasa temuduga. Memilih pakaian yang sesuai menunjukkan siapa anda pada waktu temuduga.
Setiap syarikat mempunyai cara pakaian masing – masing jadi anda perlu mengkaji tentangnya sebelum menghadiri temuduga. Ini merupakan tips untuk cara berpakaian yang sesuai
- Jadi diri sendiri. Apa yang anda pakai melambangkan diri anda jadi pakailah pakaian yang sesuai.
- Tumpukan lebih pada diri anda. Elakkan memakai barang kemas yang terlalu banyak.
- Selesa. Berpakaianlah dengan selesa ini akan memudahkan anda.
Jangan hafal cara perkenalkan diri ketika interview
Rancang apa yang anda ingin sampaikan dan yakin merupakan salah satu aspek penting sebelum anda memperkenalkan diri anda.
Walaupun perlu merancang, tidak bermakna anda perlu hafal. Jadilah diri sendiri.
Jangan terlalu takut untuk bersuara dan tunjukkan pada mereka yang anda sangat yakin dan teruja dengan peluang yang ada. Pastikan anda mengetahui nama penemuduga anda kerana sewaktu kita gementar perkara kecil seperti ini akan membuatkan kita mudah lupa.
Bahasa badan itu penting semasa temuduga kerja
Semasa sesi temuduga sedang berlangsung, sentiasa ingat untuk menunjukkan bahasa badan atau body language yang sesuai dan yakin. Sebagai contoh, jika anda ingin kelihatan lebih yakin sewaktu berkomunikasi sentiasa tegakkan badan anda dan pandang ke hadapan.
“Eye Contact” adalah salah satu latihan yang bagus untuk memperkenalkan diri. Tunjukkan pada mereka yang anda mampu berkomunikasi dengan baik dengan rakan sekerja anda pada masa hadapan.
Tip : anda boleh cuba berlatih dengan rakan atau keluarga anda minta bantuan mereka untuk melihat anda melakukannya. Berlatih dengan cermin juga merupakan salah satu cara.
Penemuduga anda mahukan seseorang yang bagus untuk syarikat mereka seperti mana anda ingin mendapatkan jawatan tersebut. Ini bermaksud penemuduga ini inginkan anda berjaya. Apabila anda memperkenalkan diri anda semasa temuduga, sentiasa yakin dan merancang dengan lebih awal.
Akhir kalam
Dalam banyak-banyak perkara yang ditulis di atas, antara yang anda perlu ingat dan aplikasikan adalah hanya beberapa perkara sahaja. Jadi, apa yang boleh diambil dari perkongsian ini adalah:
- Kenali syarikat dan penemuduga anda
- Pakaian yang sesuai untuk temuduga
- Tumpukan perhatian dan jangan mudah terganggu
- Yakin dan selesa
- Berjaga – jaga dengan bahasa badan
- Sediakan awal – awal apa yang hendak disampaikan
- Berlatih cara perkenalkan diri anda
Diharapkan agar perkongsian cara memperkenalkan diri semasa temuduga ini akan memberikan anda lebih semangat dan keberanian.
Semoga bermanfaat.