Melangkau penggal ketiga 2019 ini, mungkin ada ramai di luar sana yang berasa ingin angin perubahan dalam pekerjaan harian atas pelbagai alasan. Mungkin ada yang sudah bosan dengan kerja yang ada sekarang, tertekan dengan rakan pejabat dan ada yang ingin mencari sesuatu yang lebih baik untuk meningkatkan taraf kehidupan dengan gaji yang lebih banyak dari sekarang.Tidak kurang juga bagi mereka yang sudah pun tamat menduduki peperiksaan akhir di universiti dan mencari-cari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan untuk menimba pengalaman.Jadi pada hari ini kami akan berkongsi dengan anda tentang pekerjaan yang diperlukan di Malaysia.

Tahukah anda apakah cabang dan bidang pekerjaan yang boleh anda ceburi masa kini?

Pekerjaan yang diperlukan di Malaysia

Berdasarkan Senarai Pekerjaan Kritikal 2018/2019 dan 2019/2020 (Critical Occupation List 2018/2019 & 2019/2020) yang dilaporkan oleh TalentCorp iaitu sebuah agensi milik kerajaan yang bertanggungjawab memacu hub tenaga mahir negara ini, berikut adalah 20 jenis pekerjaan yang diperlukan oleh Malaysia.

Kami juga ada sediakan artikel tentang cara memohon pekerjaan melalui email anda, yang akan sedikit sebanyak memudahkan urusan pencarian kerja anda.

1. Ketua pengarah dan pengurus syarikat

Bagi anda yang ingin menaikkan taraf hidup anda dan keluarga, sudah banyak menimba pengalaman dan sanggup menerima cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar, ada banyak syarikat korporat yang memerlukan ketua yang berwibawa untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pengarah dan pengurus syarikat.

Kebanyakkan syarikat ingin memenuhi jawatan ini terutamanya untuk mereka yang mempunyai pengalaman pengurusan perniagaan, kewangan, pengurusan kredit dan pelaburan syarikat.

Antara kekosongan jawatan yang diperlukan di kebanyakan syarikat termasuklah ketua pengarah operasi, ketua pengarah eksekutif, pengurus akaun dan kewangan, pengurus kredit syarikat dan tidak kurang juga syarikat yang memerlukan pengurus-pengurus berlatarbelakangkan teknikal untuk penyelidikan dan pembangunan.

 

2. Ahli sains fizikal

Sementara itu, syarikat di Malaysia juga masih memerlukan ilmuwan-ilmuwan yang mempunyai latarbelakang sains fizikal seperti ahli kimia, geofizik, geologi, ahli matematik, profesional sains aktuari dan seantaronya.

Majikan dari sektor perlombongan, perkilangan, perubatan, air dan saliran serta pelaburan masih memerlukan tenaga muda dan mahir untuk memperkembangkan perniagaan yang sedia ada.

 

3. Ahli teknologi dan jurutera

Seperti yang diwar-warkan, Malaysia memerlukan ramai ahli teknologi dan jurutera dari pelbagai bidang bagi merealisasikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Majikan di Malaysia mempunyai banyak kekosongan kerja untuk jurutera automasi, sistem, R&D, robotik, mekanikal, instrumen, elektrikal, jurutera awam dan sebagainya.

 

4. Juruterbang

Dengan berkembangnya syarikat-syarikat penerbangan swasta akhir-akhir ini, permintaan untuk jawatan pilot atau juruterbang juga adalah antara jawatan yang diperlukan di Malaysia.

Perkembangan positif ini adalah sesuatu yang memberansangkan tambahan pula ia bukanlah satu bidang kerjaya yang hanya didominasi oleh kaum lelaki, malah sudah ramai kaum wanita yang menceburi bidang pekerjaan ini.

 

5. Pegawai Occupational Health

Memandangkan banyak sektor industri yang mengambil berat perihal pekerja, permintaan untuk environmental, occupational health and safety officer kini meningkat dari masa ke semasa.

Bertanggungjawab sebagai pegawai yang menjaga, memeriksa dan memantau keselamatan tempat kerja, alatan dan cara kerja sesebuah syarikat, pegawai occupational health memerlukan sijil pengesahan daripada agensi kerajaan untuk menjalankan tugasnya.

 

6. Pensyarah dan guru

Kekurangan pensyarah di peringkat kolej dan universiti dan guru-guru di peringkat sekolah menengah juga menjadikan pekerjaan ini antara pekerjaan yang diperlukan di Malaysia.

Tambahan pula, dengan peningkatan yang besar kolej-kolej swasta, ramai tenaga pengajar diperlukan dalam bidang-bidang profesional.

Tugas mendidik adalah satu tugas dan tanggungjawab yang kritikal dan memerlukan komitment yang tinggi dalam membentuk anak bangsa.

 

7. Guru pendidikan awal

Walaupun persekolahan pra sekolah bukanlah satu kewajipan bagi ibubapa, ramai yang akan menyekolahkan anak-anak mereka seawal 3 atau 4 tahun untuk persiapan awal dan juga bersosial.

Justeru, permintaan untuk guru pendidikan awal juga meningkat bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Malahan, mereka yang mempunyai kelayakan profesional dalam pendidikan awal mampu mendapat gaji yang lumayan.

 

8. Akauntan, Penasihat Kewangan, Penganalisa Kewangan

Pelbagai sektor masih memerlukan akauntan untuk memenuhi carta organisasi syarikat.

Bukan sahaja pada institusi perbankan dan insurans, kerjaya akauntan, penasihat kewangan dan penganalisa kewangan adalah antara pekerjayaan yang mempunyai masa depan cerah di Malaysia.

 

9. Pegawai pemasaran & pengiklanan

Bahagian pemasaran & pengiklanan memainkan peranan penting bagi meningkatkan jualan barangan atau perkhidmatan sesuatu syarikat.

Justeru itu, jawatan pegawai pemasaran & pengiklanan  juga adalah di antara pekerjaan yang diperlukan oleh pihak majikan di Malaysia kini.

Pihak majikan mencari mereka yang boleh membantu syarikat mempromosi dan menaikkan jenama syarikat untuk menambahkan keuntungan dan mengembangkan perniagaan syarikat.

 

10. Penganalisa sistem, software developer & programmer

Teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT adalah antara bidang yang berkembang pesat di negara ini.

Mereka yang menceburi bidang ini datang dari pelbagai pengkhususan seperti penganalisa sistem, software developer, programmer dan sebagainya menjadi pisang goreng panas antara majikan yang ada.

 

11. Juruteknik

Juruteknik dari pelbagai bidang juga diperlukan oleh pihak majikan.

Antara kerjaya juruteknik yang diperlukan termasuklah juruteknik mekanikal, elektrikal, instrumen dan sebagainya.

Bergandingan dengan jurutera, juruteknik banyak melaksanakan tugasan praktikal untuk menyelesaikan masalah-masalah teknikal dan kemahiran ini masih lagi kurang di Malaysia.

 

12. Tukang masak

Akibat kekangan masa, ramai warga Malaysia yang lebih gemar makan beramai-ramai di luar tidak kira di hujung minggu ataupun hari bekerja.

Pilihan yang pelbagai daripada restoran mewah atau kedai makan tepi kaki jalan adalah satu perkembangan positif.

Bagi mereka yang mempunyai kemahiran memasak dan juga menceburi bidang profesional kulinari dan masakan, kerjaya tukang masak juga diperlukan oleh pihak majikan di Malaysia.

 

13. Receptionist

Penyambut tetamu atau receptionist juga adalah antara pekerjaan yang mendapat permintaan di kalangan majikan.

Jika anda seorang yang peramah dan mudah berinteraksi dengan orang serta mempunyai berketerampilan, anda boleh cuba memohon untuk menjadi receptionist.

Kemahiran membuat kerja-kerja pengkeranian boleh meningkatkan potensi anda menjadi receptionist cemerlang.

 

14. Jurukimpal & welder

Sektor pengilangan, perlombongan serta sektor minyak & gas banyak memerlukan jurukimpal & welder yang berkemahiran tinggi.

Kerja yang melibatkan api yang panas dan bertekanan tinggi ini mendapat permintaan daripada majikan di Malaysia.

Banyak kolej komuniti yang menawarkan kursus untuk mendapat sijil sebagai jurukimpal. Mungkin ini adalah tapak permulaan anda membina masa hadapan yang lebih baik.

 

15. Mekanik

Mekanik juga antara kerjaya diperlukan oleh majikan di Malaysia.

Mereka yang mempunyai kemahiran ini pastinya dapat memenuhi kekosongan tenaga kerja yang memerlukan kemahiran tinggi ini.

Jurumekanik juga boleh menjadi tuan kepada perniagaan mereka sendiri kerana permintaan dari pengguna adalah menggalakkan.

 

16. Pembuat kek & pemanis mulut, juruhias kek.

Selain daripada menjadi pembuat kek & pemanis mulut serta juruhias kek profesional di restoran dan hotel-hotel mewah, pekerjaan ini juga kini mula berkembang pesat secara online.

Dengan permintaan yang tinggi serta sokongan daripada pelanggan setia, pekerjaan pembuat kek & manisan serta juruhias kek adalah satu kerjaya yang kini mampu membantu menaikkan taraf ekonomi seseorang.

 

17. Tukang jahit

Kerjaya tukang jahit juga mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia kini.

Walaupun ramai yang gemar membeli pakaian yang sudah siap dijahit, majikan-majikan yang menjalankan perniagaan pakaian memerlukan tenaga mahir tukang jahit untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Jika anda mempunyai kemahiran menjahit dan seni kreatif yang tinggi, kerjaya ini adalah satu kerjaya yang boleh anda ceburi.

 

18. Operator mesin

Kita akui sudah banyak tugasan manusia hari ini yang diambil alih oleh mesin-mesin yang berteknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Namun demikian, pengendalian mesin-mesin ini pastinya akan menghadapi kesukaran tanpa adanya tenaga kerja yang tahu selok-belok untuk mengendalikan mesin-mesin tertentu.

Disinilah fungsi operator mesin amat diperlukan untuk mengisi kekosongan tenaga kerja mahir.

 

19. Pemandu lori dan trailer

Walaupun kerjaya sebagai pemandu lori dan trailer suatu pekerjaan yang dipandang remeh, ianya satu kerjaya yang kini mulai bertapak di Malaysia.

Majikan-majikan mempunyai permintaan dan keperluan untuk menggajikan pemandu lari dan trailer untuk pengurusan logistik yang lebih efisien.

Kerjaya sebagai pemandu lori dan trailer bukan sahaja memerlukan kemahiran tertentu malahan juga pengorbanan masa dan tenaga kerana terpaksa meninggalkan keluarga pada sesuatu jangka masa yang lebih daripada 24jam untuk keluar bekerja.

 

20. Pembantu domestik

Walaupun tidak termasuk dalam senarai pekerjaan kritikal yang diperlukan, pembantu domestik tempatan sering mendapat sambutan dan sering kekurangan.

Tidak semestinya berada sepanjang rumah majikan, pembantu domestik kini diperlukan untuk kerja-kerja di rumah semasa hujung minggu atau hanya di siang hari sahaja.

Share Your Salary Anonymously

Help create salary transparency by sharing your information. We respect your privacy and do not collect any personal details. Your contribution helps others in the industry make informed career decisions.

My writing covers job-related topics, from boosting office productivity to salary negotiations. I have a keen interest in workplace dynamics and enjoy exploring and comparing job markets across various industries. My goal is to help both employers and job seekers make informed decisions in their professional journeys.

Leave A Reply